rss
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites

Khamis, 28 Januari 2010

TAHAP PRAKTIS KERJA SOSIAL DI MALAYSIA PADA HARI INI

Kerja sosial adalah satu bidang yang mempunyai keistimewaan yang tersendiri dari segi tugas dan tanggungjawab mereka terhadap pelbagai pihak yang memerlukan. Ianya bukan sesuatu yang baru dan tidak mungkin akan terpupus, oleh kerana profesion ini berteraskan prinsip dan falsafah kemanusian yang diperkukuhkan dengan ikatan ilmu hasil daripada penyelidikan dan pemerhatian yang saintifik seterusnya wujud dalam kerangka amalan kerja yang mantap. Terdapat lapan nilai yang dalam konsep ‘1 Malaysia’. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai-nilai tersebut adalah budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti. Jika kita lihat dari aspek antara nilai-nilai yang ditekankan dalam konsep 1 Malaysia di atas, nilai-nilai ini juga ditekankan dalam kerja sosial sekali gus merangkumi praktis kerja sosial yang ada di negara kita
Umumnya, kerja sosial adalah satu profesion yang ingin membawa perubahan sosial kepada masyarakat secara umumnya pada peringkat pembentukan perkembangan individu. Dengan menggunakan pelbagai teori perlakuan manusia dan sistem sosial, kerja sosial terlibat pada pelbagai tahap interaksi manusia dan persekitaran kehidupan. Peranan praktis kerja sosial berfokus untuk mencapai keperluan manusia dan mengembangkan potensi dan sumber-sumbernya. Kerja sosial menjalankan praktis dalam 5 konteks, iaitu politik, geografi, sosioekonomi, budaya dan spiritual. Kelima-lima konteks ini mampu memberikan matlamat yang terarah dalam praktis kerja sosial. Prinsip kerja sosial adalah prinsip kemanusian yang sejagat (definisi yang diterima pakai IFSW General Meeting in Montreal Canada, July 2000).
Profesion kerja sosial mempunyai falsafah yang tersendiri yang merangkumi pelbagai pengertian ilmu. Ia juga berlandaskan etika kerja sosial yang menjadi garis panduan dalam melaksanakan profesion ini. Di samping itu, bidang ini menitikberatkan hak asasi yang dimiliki oleh setiap individu yang patut dijaga dan dipertahankan tanpa mengira status, usia, darjat, pangkat dan warna kulit yang boleh dikaitkan dengan 1 Malaysia pada hari ini. Prinsip etika kerja sosial juga adalah sesuatu yang begitu penting yang perlu diamalkan oleh pekerja sosial dalam menjaminkan kejayaan terhadap praktis serta profesion kerja sosial itu sendiri.
Praktis kerja sosial dengan kumpulan merupakan satu kaedah bekerja dengan individu-individu di dalam kumpulan yang terdiri daripada dua atau lebih orang untuk meningkatkan kefungsian sosial dan mencapai matlamat sosial. Kerja kumpulan ini adalah berdasarkan pengetahuan pekerja sosial terhadap keperluan kumpulan dan saling bergantungan di antara satu dengan lain. Kaedah ini bertujuan untuk mengurangkan dan menghapuskan halangan interakerja sosial dan bertujuan matlamat sosial.
Toseland dan Rivas (1998), mendefinisikan kerja kumpulan sebagai”... aktiviti bermatlamat yang dilaksanakan terhadap sekumpulan yang dilaksanakan terhadap sekumpulan orang untuk memenuhi keperluan sosioemosi dan menyempurnakan tugas yang dipertanggungjawabkan. Ativiti ini adalah dibentuk khusus untuk individu di dalam kumpulan dan kumpulan secara keseluruhan di dalam sistem yang memberi perkhidmatan.” Sebagai contoh pekerja sosial kumpulan mungkin menyasarkan untuk memulihkan ahli, mendidik mereka, membantu ahli untuk bersosialisasi atau menolong ahli dalam pembangunan diri.
Walaupun diakui bahawa profesion menolong amat diperlukan oleh masyarakat, terutamanya dalam konteks 1 Malaysia. Apabila perubahan dan kemajuan yang dikecapi dari semasa ke semasa turut membawa bersamanya natijah penyakit sosial, konflik dan ketidakseimbangan dalam masyarakat, kefahaman yang betul tentang profesion ini sering dikesampingan. Hasilnya kita akan cenderung memandang keperluan profesion ini hanyalah sebagai pembantu suka rela, tidak profesional, mempunyai kumpulan kumpulan sasar yang terdiri daripada mereka yang susah, terpinggir dan bermacam-macam lagi strereotaip lain.
Praktis kerja sosial menekankan elemen bekerjasama dan saling menghormati antara pekerja sosial dengan sistem persekitaran klien. Ini akan membentuk hubungan profesional antara pekerja sosial dengan klien. Penilaian dalam praktis pula haruslah meliputi analisis terhadap kelemahan dan kekuatan klien dalam menangani masalah yang wujud akibat daripada interaksi mereka secara keseluruhan dengan persekitaran sosial mereka. Kemahiran asas yang perlu ada untuk memastikan praktis dapat dijalankan secara berkesan seharusnya bermulanya dengan mewujudkan kemahiran dalam mengenal pasti isu-isu, mengumpul dan menganalisis maklumat, merancang dan membentuk kontrak, iaitu perjanjian profesional dengan klien, mengenal pasti alternatif untuk memilih intervensi yang berkesan, mengimplimentasikan tindakan yang bersesuaian, menjalankan prosedur penyelidikan yang sesuai untuk mengawal dan menilai hasil intervensi dan sehinggalah mewujudkan kemahiran untuk menyelia proses terminasi, iaitu menamatkan kontrak dan intervensi dengan klien.
Contoh kes yang boleh melibatkan kerja sosial, apabila kes sebagai pekerja sosial perubatan. Di Malaysia, kerja sosial semakin diterima oleh masyarakat. Ini adalah berdasarkan peningkatan penawaran program kerja sosial dari beberapa buah Universiti tempatan. Di Hospital besar juga, pekerja sosial telah di tempatkan bagi membantu pesakit dan mereka yang signifikin. Jesteru, pekerja sosial perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan, kemahiran dan peluang bagi membantu individu dan mereka yang signifikan yang bakal atau telah kehilangan orang tersayang. Antara peranan boleh dimainkan oleh pekerja sosial perubatan adalah membantu klien dan keluarga memahami keadaan semasa terutama jika klien sedang menghidap penyakit yang boleh membawa maut. Adakalanya keluarga mahu bersama pesakit pada saat-saat akhir. Selepas kematian berlaku, pekerja sosial perlu membantu memahami keadaan seperti proses yang akan berlaku, perasaan normal yang akan dialami dan sebagainya. Apabila klien meninggal,adalah norma pekerja sosial turut mengalami kesedihan. Oleh itu, pekerja sosial mesti mencari jalan menanganinya supaya intervensi yang dilakukan adalah efektik.
Apapun peranan pekerja sosial di Malaysia, secara umumnya pekerja sosial mempunyai peranan untuk menangani kemusnahan sosial yang berlaku dalam masyarakat khususnya di dalam isu-isu yang melibatkan individu, kumpulan ataupun komuniti. Apabila timbulnya masalah yang serius dalam kehidupan manusia, terutamanya yang melibatkan hubungan antara sesama manusia ataupun sebarang masalah berkait dengan persekitaran sosial mereka, persoalan yang pasti timbul adalah sama ada pertolongan boleh diperoleh untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi mereka. Pada ketika inilah profesion menolong seperti kerja sosial mendapat perhatian dan mula menjadi rujukan semua pihak. Di samping itu, usaha memantapkan profesion ini di dalam situasi tempatan seharusnya turut melibatkan latihan dan pendidikan bagi melahirkan lebih ramai lagi tenaga pengajar dalam bidang kerja sosial. Lebih banyak tenaga mahir yang mendalami bidang ini diperlukan supaya latihan dan kepakaran dapat diimplimentasikan ke dalam praktis di pelbagai “setting” yang memberikan perkhidmatan kebajikan sosial dan perkhidmatan manusia. Apa yang paling penting di sini, praktis kerja sosial dalam konteks 1 Malaysia ini adalah berlandaskan perpaduan antara kaum di mana setiap individu tidak kira bangsa atau agama layak mendapat bantuan daripada pekerja sosial.

RUJUKAN:
-Ezarina Zakaria,2006. Khidmat Sosial Di Malaysia(Prinsip Kerja Sosial).Penerbit Universiti Malaya
-Faizah Yunus,2006. Khidmat Sosial di Malaysia. Penerbit Malaya
-Samir Muhazzab Amin dan Winny Abdul, 2009. Pengantar Kerja Sosial. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributions Sdn Bhd.
-Samir Muhazzab Amin dan Winny Abdul, 2008. Kemahiran Praktis Kerja Sosial. Selangor: Baraplas Kreatif Enterprise
-Siti Hajar Abu Bakar,2006. Kebajikan Sosial Aplikasi dalam Perkhidmatan Manusia: Penerbit Universiti Malaya

0 ulasan:

Catat Ulasan